Terima kasih kepada Blogger kita Suria Amanda atas pertanyaan tersebut.
Satu soalan yang selalu berlegar-legar dalam minda sahabat sahabat blogger dan pembaca blog Di Sebalik Uniform adalah “Taufik, pihak atasan tahu ke kau ada tulis blog macam ni?” Haaa… yang ini Taufik nak jawab terus-terang dan jujur. Setakat hari ini, tidak... pihak atasan sama ada di peringkat kontinjen mahupun Bukit Aman sendiri, memang tidak tahu langsung tentang kewujudan blog ini.
Kenapa Taufik kata begitu? Sebab blog ini asalnya hanyalah tempat untuk Taufik luahkan sedikit sebanyak pengalaman harian sebagai anggota polis, terutama yang bertugas di Pusat Kawalan Daerah (PKD). Tak semua yang Taufik tulis ni terlalu rasmi atau berat, kadangkala hanyalah cerita santai selepas bertugas, pengalaman pergi rondaan, atau perbualan lucu dengan pengadu yang kadang-kadang buat kita senyum sendiri. Tapi, ia tetap membawa nilai dan cerita yang mungkin orang luar tak nampak dari kaca mata anggota PDRM sendiri.
Setakat ini, yang tahu tentang blog ni hanyalah sahabat-sahabat rapat Taufik, termasuk rakan-rakan sekerja yang kadang-kadang muncul dalam entri blog (walaupun tak disebut nama). Mereka tahu sebab kadang-kadang ada yang datang tegur, “Eh bro, yang kau cerita pasal kes jiran India gaduh hari tu tu macam kes malam kita jaga sama tu kan?” dan kita gelak je, sebab memang betul pun! Tapi dari segi pihak pengurusan yang lebih tinggi, belum pernah ada yang maklum atau bertanya secara langsung.
Taufik tak anggap ini satu perkara rahsia, cuma belum tiba masanya untuk diketengahkan secara rasmi. Bukan sebab nak sorok, tapi Taufik nak pastikan dulu semua kandungan yang ditulis tidak langgar mana-mana polisi atau peraturan dalaman. Setiap entri Taufik pastikan tidak dedahkan maklumat sulit, wajah mangsa, nama sebenar, nombor kad pengenalan, atau apa-apa data yang boleh jejaskan siasatan dan reputasi pasukan.
Ramai yang tanya “Taufik, kau tak penat ke tulis tiap hari? Kerja penat, balik tulis blog pula?” Sebenarnya, menulis blog ni macam terapi juga untuk Taufik. Selepas seharian atau semalaman bertugas, dengan pelbagai ragam manusia, suasana yang kadang-kadang mendesak dan tekanan tugasan yang tak menentu masa, menulis blog memberi ruang untuk Taufik tarik nafas. Ia jadi tempat untuk luah sesuatu yang mungkin tak sesuai dikongsikan dalam group kerja atau media sosial terbuka macam Facebook.
Tambahan pula, ramai rakyat Malaysia masih belum benar-benar faham apa sebenarnya tugas harian polis. Ada yang anggap kami hanya ronda, saman, tahan orang tetapi sebenarnya skop kerja anggota polis sangat luas dan melibatkan banyak emosi, budi bicara, serta kesabaran yang tinggi. Blog ini adalah salah satu cara untuk berkongsi perspektif itu dengan masyarakat luar.
Kalau ditakdirkan satu hari nanti pihak atasan tahu tentang blog ini, Taufik harap mereka dapat lihat dari sudut positif. Blog ini tidak bermotifkan sensasi atau menjatuhkan maruah pasukan. Malah, Taufik sangat berhati-hati dalam setiap penceritaan. Tidak ada maklumat sulit dibocorkan, tidak ada rahsia dalaman disensasikan. Segala yang ditulis adalah kisah-kisah yang berlaku dalam konteks tugas biasa dan lebih kepada mendidik masyarakat.
Kalau blog ini boleh dijadikan platform untuk mendekatkan masyarakat dengan pasukan polis, itu satu bonus besar. Taufik sendiri terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak jika satu hari nanti ada keperluan untuk menjadikan blog ini sebagai medium rasmi perkongsian anggota barisan hadapan.
Taufik tahu tak semua orang pandang anggota polis dengan positif. Ada yang skeptikal, ada yang bersangka buruk, dan ada yang hanya tahu menilai berdasarkan klip video tular yang tidak lengkap. Maka blog ini juga Taufik harapkan boleh ubah sedikit sebanyak pandangan orang ramai terhadap realiti di sebalik uniform biru ini.
Kita juga manusia biasa. Kita juga ada keluarga, ada pasangan hidup, ada tekanan, dan ada emosi. Cuma kami dibalut tanggungjawab yang kadangkala berat di bahu, dan disuluh harapan masyarakat yang mahukan keamanan.
Buat masa ini, Taufik akan terus menulis. Entri demi entri akan diteruskan selagi diberi peluang, selagi kesihatan mengizinkan dan selagi ada semangat nak menaip. Bukan untuk glamor, bukan juga untuk dapat pujian tapi untuk berkongsi. Jika ada satu dua perkara yang boleh dijadikan pengajaran, maka itu sudah cukup bagi Taufik.
Dan kepada pembaca semua sama ada anda orang awam, blogger, anggota polis, atau pelajar. Taufik ucapkan terima kasih kerana sudi membaca, komen, dan sokong blog ini. Kalau ada sebarang teguran atau cadangan, boleh tinggalkan di ruangan komen atau hubungi Taufik secara terus.
Dan kalau anda salah seorang pihak atasan yang terbaca blog ini, jangan marah ya... Hahaha. Ni semua demi kebaikan bersama. ✊🏻
Kalau sudi, boleh share entri ini semoga lebih ramai faham bahawa di sebalik seragam biru ini, kami juga ada cerita.
moga blog ni akan terus ada utk share info dan mendidik masyarakat. niat nya sgt murni!
ReplyDeleteTerima kasih kak.. mudah mudahan blog ni terus kekal....
DeleteKadang-kadang sesuatu yang pada orang lain nampak macam rahsia tapi kadang-kadang ianya boleh menerangkan keadaan yang sebenarnya. Tapi apa pun setiap yang kita buat biarlah orang sangka baik dengan kita. Sebagai penjawat awam memang ada benda yang kita tidak boleh war-warkan sebab orang tak tahu apa situasi yang sebenarnya. Macam KKM masa PKP orang hentam pasal vaksin. Tapi vaksin tu kita dah terima masa kita kecil lagi di mana virus di suntik dalam badan untuk menjadi antibodi dalam badan menyerang virus lain.
ReplyDeleteSebab tu kita kena fikir positif jangan negatif semuanya. Apa pun akak sokong Taufik. Sebab kadang banyak info yang kita orang awam tak tahu. Dulu skeptikal juga dengan polis tapi bila dah bekerja dan berurusan oooo macam ni rupanya.
Tulaaaaa Taufik bila dah masuk PKD... Memang rasa nak berkongsi cerita dengan orang awam apa yang selalu kes yang kami terima. Sekurang kurang nya ia jadi juga panduan buat orang awam dan jadikan pengajaran.
DeleteKita berblog untuk suka menulis sesuatu sebagai kenangan..boleh menjadikan kita happy kerana menzahirkan kenangan lalu, ditatap anak-anak..Asal tak merosakkan emosi minda pembaca..niat baik..InshaAllah..mohon kita rahmat dariNya
ReplyDeleteSebagai kenangan dan tempat luahan perasaan. Betul tu, asalkan tak merosakkan emosi minda pembaca
Deletebetul..blog ni salah satu cara kita nak bercerita..asal tau batas2 nya..ok je
ReplyDeleteYa, asal batas nya ada sahaja.
DeleteInteresting! Maknanya, blog ini very personal. Ada challenge nak ke personal branding...💪
ReplyDeleteTerima kasih, ada terlintas macam nak buat personal branding tapi kita punya blog tak power lagi.
Deletetahniah dik, moga terus bersemangat menulis....betul tu, tak semestinya kita menulis hal kerja official seharian kita....kita menulis dari pelbagai sudut yang kita alami dan rasa......
ReplyDeleteTerima kasih... Betul tu, Sebab blog ni takde laaaa semua nya berkaitan kes sahaja kan.... Adakala aktiviti seharian kita.
DeleteTeruskan berblogging. Kongsi pengalaman, menulis secara beretika dan tahu batasnya. In syaa Allah mesej akan sampai.
ReplyDeleteTerima kasih kak, semoga sentiasa diberikan semangat untuk teruskan berkongsi cerita.
DeleteSelagi tak berkonten dengan baju seragam lengkap dan tiada maklumat sulit, takde masalah pun bagi Linda...sebab berkecimpung dengan geng beruniform juga, faham sangat skeptikal masyarakat tu..lagi2 dekat abam uniform hijau nie...kalau uniform putih @ biru laut tu, yang tu femes..org suka...hihihi..darat nie apalah sangat...🤭🤭🤭
ReplyDeleteSama lah kak dalam Pdrm ni.... Selalu femes dengan baju putih... Mungkin sebab lain pakaian kot hahaha nampak smart.
DeleteYang baju putih tu femes, risau "duit terbang"... Hahaha
DeleteYang pasti surat cinta akan sampai kepada mereka yang terpilih
Delete