Skip to main content

Kisah Pengadu dan Bayangan di Pintu Belakang

Baru-baru ini, aku terima satu panggilan daripada seorang pengadu perempuan yang jelas dalam nada cemas. Suaranya tergesa-gesa, mungkin sebab panik atau terlalu takut dengan apa yang dia nampak sebentar tadi. Dalam panggilannya, dia maklumkan bahawa ada seseorang sedang mengendap dari arah pintu belakang rumahnya. Katanya lagi, individu tersebut dipercayai bekas suaminya sendiri.

Menurut cerita pengadu, sebelum ini rumahnya pernah dipecah masuk, namun tiada siapa yang dapat disahkan sebagai suspek. Kes tersebut tidak dapat diselesaikan sebab tiada bukti yang cukup kuat. Namun kali ini, dia sendiri nampak kelibat seseorang yang sangat dikenali dan yakin bahawa itu adalah bekas suaminya. Aku dengar dengan teliti, sebab dalam hal-hal begini, emosi boleh mempengaruhi tanggapan seseorang. Jadi penting untuk aku dapatkan maklumat yang tepat dan lengkap.

Setelah pengadu maklumkan lokasi kejadian dan butiran ringkas tentang kejadian, aku terus buat keputusan untuk hantar anggota peronda MPV ke kawasan rumah pengadu untuk lakukan rondaan serta buat pemeriksaan awal. Dalam masa yang sama, aku juga nasihatkan kepada pengadu supaya sentiasa berwaspada dan kalau ternampak kelibat mencurigakan sekali lagi, jangan teragak-agak untuk terus hubungi pihak polis agar tindakan lanjut dapat diambil dengan segera.

Aku juga sarankan supaya pengadu membuat laporan polis secara rasmi di Balai Polis berdekatan. Tujuannya adalah untuk merekodkan kejadian tersebut dalam sistem dan sekiranya berlaku kejadian berulang, pihak berkuasa boleh ambil tindakan berdasarkan laporan terdahulu. Laporan itu juga penting sebagai bukti jika pengadu mahu ambil tindakan undang-undang, misalnya membuat permohonan perintah perlindungan (Protection Order).

Semasa anggota peronda sampai ke lokasi, mereka terus buat pemeriksaan sekitar kawasan rumah. Mereka menyuluh kawasan luar rumah termasuk semak dan lorong belakang rumah. Malangnya tiada suspek atau sebarang petunjuk yang mencurigakan ditemui ketika itu. Memandangkan keadaan sudah tenang dan tiada ancaman yang dapat disahkan ketika itu, anggota MPV maklumkan bahawa mereka akan teruskan rondaan ke lokasi lain seperti biasa.

Namun begitu, aku tetap simpan kejadian ini dalam log tugas. Ini kerana kadang-kadang kejadian seperti ini boleh berulang. Jadi kalau ada maklumat tambahan nanti, kami boleh rujuk semula kepada rekod terdahulu.

Sebagai anggota polis yang bertugas di PKD (Pusat Kawalan Daerah), kami sering menerima pelbagai jenis panggilan kecemasan. Ada yang betul-betul darurat, ada juga yang melibatkan isu peribadi yang sudah lama terbuku. Dalam kes seperti ini, yang melibatkan bekas pasangan, emosi memang memainkan peranan penting. Rasa takut, bimbang dan tekanan mungkin mendorong pengadu untuk mengambil langkah segera seperti menghubungi pihak berkuasa.

Kalau nak ikutkan, dalam banyak kes rumah tangga yang kami terima, biasanya akan ada elemen gangguan daripada bekas pasangan. Kadang-kadang bekas suami masih tak dapat terima hakikat perpisahan dan mula ganggu bekas isteri sama ada secara fizikal atau melalui media sosial. Jadi nasihat aku kepada mana-mana individu yang berhadapan dengan situasi begini, jangan ambil mudah. Buat laporan. Dapatkan perlindungan yang sepatutnya.

Kes begini juga jadi peringatan kepada orang awam tentang pentingnya pasang sistem keselamatan asas di rumah. Pasang lampu sensor, kunci tambahan atau kamera CCTV pun sudah cukup membantu dalam mengesan dan mencegah aktiviti yang mencurigakan.

Walaupun dalam kes ini tiada kejadian buruk berlaku, tapi sebagai anggota polis, kami tetap anggap ia sebagai amaran awal. Mungkin suspek belum buat apa-apa, tapi kehadiran dia di belakang rumah itu sudah cukup untuk menimbulkan kebimbangan. Kadang-kadang kehadiran polis saja sudah cukup untuk beri isyarat kepada suspek agar tidak bertindak lebih jauh.

Kepada pembaca blog ini, ingatlah keselamatan diri dan keluarga adalah tanggungjawab bersama. Jangan tunggu sehingga berlaku sesuatu yang serius baru nak ambil tindakan. Dan sekiranya ada sebarang kejadian mencurigakan, jangan takut untuk hubungi pihak polis. Kami sentiasa sedia membantu.

sebagai anggota polis juga, kami bukan hanya jaga keselamatan awam, tapi juga jadi tempat rujukan dan sokongan emosi kepada masyarakat. Bila dapat bantu orang dalam kesusahan, walaupun hanya melalui nasihat atau rondaan, itu sudah cukup beri kepuasan dalam tugas harian aku.

semoga kita semua dilindungi dari sebarang bahaya. Kalau ada pengalaman hampir sama, boleh juga kongsikan di ruangan komen. Kita belajar daripada pengalaman orang lain juga.


#BlogTugasPolis 

#PKDKluang 

#CeritaPKD 

#KesGangguan 

#PolisSediaMembantu


Comments

  1. Baca kes ini teringat kes makcik saya, dia dah bercerai dengan suaminya tapi bekas suaminya suka dengan sesuka hati ceroboh ke rumah makcik saya tu. Dia datang sesuka hati ambil makanan, cuci baju dalam rumah buat macam masih duduk sebumbung. Bila makcik buat aduan pada adiknya yang memang anggota polis , adiknya suruh buat repot polis. Tapi dia taknak buat, suruh tukar mangga pintu pun tak buat juga. Kadang susah nak cakap kes macam makcik ni sebab terlalu kesian n sayang kononnnya pada bekas suami. Kami yang lain tak boleh nak tolong kalau dia sendiri tak nak buat apa.

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul tu, saya juga banyak kali pesan kepada pengadu ni untuk tidak lupa buat laporan polis bagi tahap keselamatan diri kalau terjadi apa apa. kita boleh cuba beri nasihat dan pokok pangkal nya adalah tuan punya badan.

      Delete
  2. Bila baca gangguan tu ingat 'bukan orang'. Rupanya bekas suami. Bahaya juga kan. Kalau bekas suami yang kaki pukul pun bahaya jugak.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya... Pengadu risau sebab nampak kat belakang rumah. Kalau panas baran tak terkawal bahaya.

      Delete
  3. Suka ayat ni, "sebagai anggota polis juga, kami bukan hanya jaga keselamatan awam, tapi juga jadi tempat rujukan dan sokongan emosi kepada masyarakat." 👍🏻
    Semoga dilindungi kita semua dari perkara² yg tak baik

    ReplyDelete
    Replies
    1. Amiiin.... Terima kasih kerana terus menyokong blog ini...

      Delete
  4. Apa saje lah yang di buat tu sampai nak pecah masuk rumah orang. Takde kojo ko apo. Jumpa le terang-terang pi depan pintu pagar nun hah jumpa tentang mata. Ni macam pencuri buat orang takut je. Nanti bila kena tangkap polis marah pulak padahal ko yang susah payah mengendap rumah orang tu apo hal. opsss terover plak....hehehe geram sih

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Tulis Blog Cerita Tugas Polis, Ada Isu ke? Bos Ok ke?

Terima kasih kepada sahabat Blogger  mummy_ayu  atas soalan yang diberikan kepada entry yang lepas. Soalan ni memang selalu aku fikir masa mula-mula buat blog ni: "Tak salah ke kongsi cerita kerja dalam blog?" "Office tak marah ke?" Jawapan ringkas: Tak salah… selagi kena pada cara dan batasnya. Apa Yang Dibenarkan? Cerita pengalaman peribadi dalam bertugas, contoh: rondaan malam, kawalan trafik, insiden lucu masa bertugas.  boleh dikongsi selagi tak langgar dasar sulit PDRM. Tak dedah maklumat sulit atau sensitif , seperti nama pengadu, nombor laporan, maklumat siasatan dalaman, atau apa-apa yang berkaitan dengan keselamatan negara. Tak burukkan organisasi atau rakan sekerja. Kita nak tunjuk sisi baik, bukan buka aib sesiapa.

Sebulan Buat Blog, Jom Soal Jawab!

Alhamdulillah… diam tak diam dah genap sebulan aku mula menulis blog Di Sebalik Uniform. Bermula dengan niat nak kongsi pengalaman sebagai anggota polis, siapa sangka makin ramai yang singgah baca, komen, dan beri semangat. Terima kasih kepada semua yang sudi luangkan masa. Sempena genap sebulan blog ini wujud, aku nak buka satu sesi soal jawab khas dengan pembaca blog. Kalau korang ada soalan nak tanya pasal:

Masa Free, Main Game Dulu

Tak semua masa kita sibuk dengan tugasan. Bila ada ruang masa, aku pun macam orang lain juga, nak "unwind" dan rehatkan minda. Kalau korang pula, apa korang buat masa free? Ada yang suka tengok drama? Baca buku? Memancing? Atau shopping online? Kalau aku...